Translate

Tuesday, December 11, 2018

AirAsia sedia tawar penerbangan khas

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SYARIKAT penerbangan tambang murah AirAsia Berhad bersedia menawarkan penerbangan khas untuk membawa penyokong skuad Harimau Malaya menyaksikan aksi final ke­dua Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Suzuki 2018 menentang Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi Sabtu depan.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandez (gambar) berkata, penerba­ngan khas tersebut bertujuan memudahkan perjalanan seramai mungkin penyokong Malaysia bagi menyemarakkan semangat Harimau Malaya untuk menjulang Piala AFF Suzuki kali ini.

Beliau berkata, AirAsia sentiasa memberi sokongan penuh kepada Harimau Malaya dan akan bekerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) serta kelab penyokong Ultras Malaya berhubung pe­nerbangan khas berkenaan.

“Sebelum ini, kita telah menawarkan penerbangan khas buat penyokong ke Bangkok bagi aksi separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki 2018 menentang Thailand.

“Aksi tersebut sangat mendebarkan dan saya hampir tidak percaya kita (Harimau Malaya) layak (perlawanan akhir),” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan Cera­mah Eksekutif di Universiti Sultan Zainal Abidin, Kuala Nerus, Terengganu semalam.

Fernandez berkata, AirAsia akan mengumumkan butiran lanjut berhubung penerbangan khas final kedua Piala AFF Suzuki 2018 di Hanoi dalam masa terdekat.

Jelas beliau, pihaknya sedang menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa pe­nerbangan tempatan dan Viet­nam berhubung penerbangan khas tersebut.

“Saya masih belum boleh mengumumkan bilangan pe­nerbangan khas terbabit tetapi seboleh-bolehnya kita mahu tambah seberapa banyak yang boleh,” kata Fernandez.

No comments:

Post a Comment