Translate

Tuesday, October 23, 2018

Pesara guru tauke pusat pelacuran

KUALA TERENGGANU – Kegiatan sebuah sindiket pelacuran yang berselin­dung di sebalik perniagaan kafe dan pusat urut terbongkar apabila premis itu diserbu polis di Cherung Lanjut di sini kelmarin.

Dalam serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat yang te­lah diubah suai pada pukul 10.40 malam itu, sepasang suami isteri yang dipercayai dalang sindiket pelacuran berkenaan berjaya ditahan bersama dua wanita warga Thailand disyaki pekerja seks.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, serbuan itu turut berjaya merampas barangan bukti seperti kondom, telefon pintar, wang tunai kira-kira RM3,000, minyak urut dan pelincir serta buku log.

“Siasatan awal mendapati ke­giatan pelacuran tersebut te­lah dipromosi suspek lelaki berusia 44 tahun yang bekerja sebagai peniaga alat ganti kenderaan menerusi aplikasi WeChat sambil dibantu isterinya berumur 48 tahun yang juga pesara guru.

“Kedua-dua wanita disyaki pekerja seks terbabit mengaku memberi perkhidmatan kepada sekitar 10 hingga 12 pelanggan daripada pelbagai latar belakang setiap sehari sejak kira-kira dua minggu lalu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini semalam.
Suffian berkata, siasatan menerusi risikan yang dilakukan menerusi promosi perkhidmatan seks yang dilakukan suspek lelaki melalui aplikasi WeChat juga mengesyaki beberapa pelacur tempatan turut memberi perkhidmatan secara sambilan di premis terbabit tetapi kelibat mereka tiada sewaktu serbuan diadakan.

Menurut beliau, siasatan awal juga mempercayai caj RM250 sejam dikenakan kepada setiap pelanggan yang mendapatkan perkhidmatan pelacur ber­kenaan manakala pemeriksaan juga mendapati kedua-dua wanita warga Thailand berusia 21 dan 32 tahun yang ditahan terbabit telah memasuki negara ini dengan menggunakan pas lawatan sosial.

“Kedua-dua suspek warga tempatan yang dipercayai penjaga dan pelindung kepada ke­dua-dua pekerja seks tersebut disiasat mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan manakala dua suspek warga asing pula disiasat mengikut Seksyen 372 (b) akta sama,” katanya.
Kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga Sabtu ini.

Dalam pada itu, siasatan wartawan Kosmo! di Cherung Lanjut mendapati pusat maksiat itu beroperasi di kawasan perumahan yang terdiri daripada rumah teres dua tingkat serta pangsapuri.

No comments:

Post a Comment