Translate

Friday, October 19, 2018

Dua syarikat biak aedes di tapak pembinaan didenda RM17,000

KEMAMAN - Dua syarikat pembinaan yang diserbu penguat kuasa Pejabat Kesihatan Kemaman pada tujuh bulan lalu kerana membiarkan tapak pembinaan masing-masing menjadi lokasi pembiakan nyamuk aedes didenda keseluruhan RM17,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Hakim Badrul Munir Mohd. Hamdy menjatuhkan hukuman berkenaan selepas wakil Asia Gulf Property Sdn. Bhd. (Asia Gulf Property) dan Multielite Holding Sdn. Bhd. (Multielite Holding) membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Beliau memerintahkan Asia Gulf Property didenda RM7,000 manakala Multielite Holding pula sebanyak RM10,000.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua syarikat pembinaan itu didakwa melakukan perbuatan membiak serangga pembawa penyakit iaitu larva nyamuk Aedes albopictus dan Aedes aegypti yang dijumpai di dalam bekas plastik dan tangki berisi air di dalam kawasan tapak pembinaan masing-masing.

Kesalahan itu didakwa dilakukan selepas tapak pembinaan Asia Gulf Property dan Multielite Holding yang masing-masing terletak di Kawasan Perindustrian Jakar 2 dan Kampung Dusun Nyior di sini diperiksa sepasukan penguat kuasa Pejabat Kesihatan Kemaman pada Mac lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 13(2) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment