Translate

Tuesday, September 11, 2018

Kepala, dada ditembusi peluru

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN – Pembunuh upahan Keri Pok Jeng yang menjadi buruan selama tujuh tahun ke­rana terlibat dalam sekurang-kurangnya lima kes bunuh termasuk menembak mati bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat berakhir semalam apabila lelaki itu maut ditembak polis  di Felda Neram 1 dekat sini.

Keri Pok Jeng atau nama sebenarnya, Syukri Mohd. Abiah, 37, mati selepas berbalas tembakan dengan sepasukan anggota polis yang menyerbu sebuah rumah teres setingkat yang masih dalam pembinaan pada pukul 4.30 pagi. Keri Pok Jeng dikatakan bersembunyi di situ antara tiga hingga empat hari lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata, sepasukan anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman sebelum itu membuat serbuan di rumah tersebut setelah menerima maklumat suspek dikehendaki bersembunyi di lokasi ter­babit.
“Sebaik rumah  itu dikepung dan anggota memperkenalkan diri, suspek te­rus melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis. Polis terpaksa  membalas tembakan bagi mempertahankan diri sebelum dua das tembakan ma­sing-masing mengenai kepala dan dada kiri Keri Pok Jeng yang  membawa kepada kematiannya,” kata beliau di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman di sini semalam.
Menurut beliau, mayat Keri Pok Jeng dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman dan pengecamannya telah dilakukan ahli keluarganya.

Keri Pok Jeng berasal dari Kelantan tetapi pada tahun 1980-an dia dan keluarganya berpindah ke Pahang.

Beliau berkata, polis me­rampas sepucuk pistol jenis Norincco, sebutir peluru hidup dan sebilah parang di rumah tersebut.

“Suspek diburu sejak tahun 2007 kerana terlibat dalam sekurang-kurangnya lapan kes jenayah kekerasan termasuk lima kes menembak mati mangsa-mangsa. Ia termasuk kes bunuh bekas ADUN Alor Limbat, Alias Abdullah pada 9 Oktober 2015,” kata beliau.
Pembunuhan  Alias di Kampung Alor Limbat, Bukit Payung itu berlaku selepas dua lelaki memberi salam ketika mangsa baru balik daripada sembahyang Jumaat.  

Fazlisyam memberitahu, Keri Pok Jeng juga dipercayai menembak mati Pak Mat Bulan di Wakaf Tapai, Marang; Syed Zainudin Syed Noh di Kota Bharu, Kelantan; Arzurizan Abd. Rahman @ Zul Badak di Kuantan, Pahang dari tahun 2012 hingga 2015.

Beliau berkata, suspek turut dikehendaki kerana kes culik dan bunuh seorang lelaki di Sungai Cherul, Kemaman bagi mendapat wang tebusan RM200,000 bermotifkan hutang dadah di Padang Midin, Kuala Terengganu.

Selain itu, tambah beliau, Keri Pok Jeng yang mempu­nyai isteri dan anak ada 12 rekod jenayah.


No comments:

Post a Comment