Translate

Monday, July 9, 2018

Menteri Besar Terengganu dilantik Presiden PBSNT secara automatik

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
MENTERI Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar (gambar) secara automatik dilantik sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang baharu.

Ia berikutan 57 ahli gabungan PBSNT bersetuju sebulat suara meminda perlembagaan badan induk bola sepak negeri itu berhubung pelantikan presiden pada kongres luar biasa (EGM) di Kuala Terengganu semalam.

Bekas Presiden PBSNT, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, pindaan terhadap Artikel 33 dan 39 tersebut memperuntukkan jawatan presiden badan induk itu kini dikhususkan kepada Menteri Besar Terengganu.

“Pindaan tersebut juga memberi kuasa kepada Presiden PBSNT untuk me­lantik Timbalan Presiden I. Ia bertujuan memberi kekuatan kepada persatuan bola sepak ini bagi meneruskan kecemerlangan yang sedang dicapai dalam kancah bola sepak tempatan,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan EGM PBSNT di Kuala Terengganu semalam.

Sebelum ini pemilihan semua jawatan tertinggi PBSNT termasuk presi­den adalah terbuka dan dilakukan secara pengundian oleh ahli gabungan pada mesyuarat agung tahunan.

Ahmad Razif yang juga bekas Menteri Besar Terengganu memberi­tahu, serentak dengan itu beliau melepaskan jawatan sebagai Presiden PBSNT seperti pernah dijanjikannya sebelum ini.

Dalam perkembangan sama, beliau berharap kepimpinan baharu PBSNT dapat meneruskan program transformasi bola sepak negeri yang sedang berjalan menerusi sistem pasukan pelapis, Terengganu Football Club (TFC).

No comments:

Post a Comment