Translate

Sunday, June 10, 2018

Bas Amphicoach dijadikan produk pelancongan di Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu yang diterajui Pas tidak berhasrat menggunakan bas Amphicoach yang bernilai RM3.3 juta untuk kegunaan operasi menyelamat mangsa banjir seperti matlamat asal pembelian kenderaan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Terengganu, Ariffin Deraman berkata, berdasarkan dua sesi ujian yang dilakukan sebelum ini, bas itu didapati tidak mampu melakukan operasi menyelamat tetapi lebih sesuai dijadikan produk pelancongan.

“Keunikan kenderaan ini yang merupakan satu-satunya bas dua alam yang terdapat di Asia pasti menggamit pelancong.

“Kami berhasrat menjadikan bas ini sebagai salah satu pakej tambahan di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini dan digunakan untuk menyusuri Sungai Terengganu pada awal tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima taklimat berhubung bas Amphicoach daripada pegawai Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pelancongan ne­geri di sini semalam.

Sebelum ini, pembelian bas Amphicoach merupakan idea bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said bagi kegunaan operasi menyelamat pada musim banjir dan produk pelancongan pada April 2014.

Dalam perkembangan sama, Ariffin memberi­tahu, bas tersebut masih dalam proses penyelenggaraan setelah mengalami kerosakan pada injap enjin sewaktu dipandu uji buat kali kedua pada pertengahan Mac lalu.

“Kerajaan negeri Terengganu dijangka menerima secara rasmi bas ini selepas kerja-kerja penyelenggaraan dan urusan lesen daripada Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Laut selesai pada bulan Oktober depan,” katanya.

No comments:

Post a Comment