Translate

Tuesday, May 22, 2018

Prestasi memuncak pemain TFC I hadapi Perak

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SKUAD Terengganu Football Club I (TFC I) berada pada prestasi terbaik untuk membenam cabaran Perak dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.
Pengendali TFC I, Irfan Bakti Abu Salim (gambar) berkata, kejayaan menewaskan Pahang 1-0 pada aksi di gelanggang lawan sebelum ini telah mengembalikan motivasi anak-anak buahnya untuk terus memburu kedudukan tiga pasukan terbaik Liga Super musim ini.

“Ketika ini kita berada pada tahap terbaik untuk mengekalkan momentum kemenangan sekali gus menebus kehampaan ditewaskan Perak 2-3 pada aksi di tempat lawan sebelum ini.

“Selain kehadiran semula kapten pasukan, Tchetche Kipre, peningkatan prestasi seorang lagi pemain import, Bruno Suzuki sudah pasti bakal menajamkan barisan serangan kami untuk menggempur Perak esok (malam ini),” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Irfan berkata, kemenangan pada pertemuan de­ngan Perak amat penting untuk mengutip tiga mata berharga bagi merapatkan semula kedudukan dengan pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Sehubungan itu, pengendali berpengalaman berkenaan meminta para pemain tidak mengulangi kesilapan lama yang membolehkan Perak mencatat kemenangan selepas meledak tiga gol mudah pada aksi terdahulu.

Dalam perkembangan sama, Irfan tidak melihat aksi pertama pada bulan Ramadan tahun ini bakal menjejaskan rentak para pemain untuk mempamerkan aksi bertenaga di padang.

“Saya percaya para pemain tidak mempunyai sebarang masalah untuk beraksi pada bulan puasa, lagipun sebahagian besar daripada mereka pernah beraksi dalam bulan Ramadan sebelum ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment