Translate

Thursday, May 10, 2018

Keputusan PRU-14: BN tumbang di Terengganu

MOHD. AZLI ADLAN

MARANG - Barisan Nasional (BN) gagal mempertahankan kerajaan negeri Terengganu selepas Pas dikatakan memenangi majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) hari ini.

Tiga Exco kerajaan negeri Terengganu iaitu Datuk Tengku Putera, A. Latiff Awang dan Rosli Othman juga masing-masing tumbang di kerusi yang ditandingi iaitu Kuala Berang, Pengkalan Berangan dan Kemasik.

Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Husein Awang berkata, berdasarkan keputusan tidak rasmi, parti tersebut telah memenangi 21 kerusi DUN iaitu kurang satu daripada majoriti dua pertiga.

Beliau berkata, sembilan kerusi dimenangi BN manakala baki dua kerusi masih dalam kiraan semula.

"Saya minta penyokong-penyokong Pas menerima kemenangan ini dengan tawaduk dan tunjuk kegembiraan kita berlebihan sehingga disangka sebagai menunjuk-nunjuk.

"Jangan adakan  sebarang perarakan kemenangan pada malam ini dan pergi ke Wisma Darul Iman (pusat pentadbiran kerajaan negeri). Itu akhlak yang saya minta daripada semua," katanya kepada penyokong Pas di Dewan Tok Guru, Rusila di sini sebentar tadi.

Husein berkata, 21 kerusi DUN yang dimenangi Pas ialah Kota Putera, Jabi, Tepoh, Buluh Gading, Bukit Tunggal, Wakaf Mempelam, Bandar.

Beliau berkata, DUN Ladang, Batu Buruk,  Alor Limbat, Bukit Payung, Rhu Rendang, Pengkalan Berangan, Manir, Kuala Berang, Rantau Abang, Sura dan Paka.


"DUN Kemasik, Cukai dan Air Putih juga dimenangi oleh Pas.  Kita juga sedang menunggu keputusan pengkiraan semula di DUN Ajil dan Bukit Besi," katanya. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment