Translate

Sunday, May 27, 2018

19 nelayan warga Vietnam ditahan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seramai 19 nelayan warga Vietnam termasuk dua tekong bot ditahan Ma­ritim Malaysia (APMM) ketika menceroboh perairan Kuala Terengganu pada pukul 7.16 pagi, Sabtu lalu.

Turut dirampas adalah dua tan ikan pelbagai jenis, setengah tan ikan baja, 3,000 liter diesel, peralatan serta dua bot nelayan yang dianggarkan berjumlah keseluruhan RM1.5 juta.

Pengarah APMM Terengganu, Kepten Maritim Rahim Ramli berkata, dua tekong bot nelayan berusia 51 dan 49 tahun itu turut cuba memberi ra­suah sebanyak RM1,000 kepada pegawai penguat kuasa APMM bagi melepaskan diri daripada tindakan undang-undang kerana menangkap ikan secara ha­ram di perairan negara.

Katanya, seramai 17 awak-awak dalam lingkungan usia antara 14 hingga 54 tahun turut berjaya ditahan di dua bot nelayan tersebut.

“Ketika ditahan pada kedudukan kira-kira 73 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu di sini, kedua-dua bot nelayan terbabit sedang melakukan penangkapan ikan secara pukat tunda gading yang diharamkan di negara ini.

“Salah satu daripada bot nelayan itu bertindak memotong pukat dan memecut laju bagi melarikan diri tetapi tindakan­nya itu sia-sia apabila bot tersebut berjaya dipintas kapal ma­ritim APMM pada kedudukan lebih kurang 77 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat APMM Terengganu di sini semalam.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati, kedua-dua bot berkenaan tidak mempunyai kebenaran daripada Jabatan Perikanan untuk memasuki perairan negara bagi menangkap ikan.

“Kesemua 19 suspek juga tidak mempunyai permit kerja untuk menangkap ikan di perairan negara dan 13 daripada mereka juga tidak memiliki dokumen penjalanan yang sah.

“Mereka telah ditahan reman selama 14 hari sehingga 2 Jun hadapan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya.

Dua tekong yang cuba mera­suah pula diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut.

No comments:

Post a Comment