Translate

Sunday, April 1, 2018

Operasi musim banjir lebih cekap

KETIBAAN bas Amphicoach di bumi Terengganu dijangka memberi dimensi baharu kepada operasi menyelamat mangsa banjir di negeri Pantai Timur berkenaan.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, bas dua alam buatan Malta terbabit bakal menjadi antara aset penting kepada Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri bagi menghadapi musim tengkujuh pada masa akan datang.

“Saya difahamkan pembelian bas Amphicoach ini merupakan pendekatan serampang dua mata kerajaan negeri Terengganu bukan sahaja untuk merancakkan industri pelancongan tempatan malah sebagai kegunaan musim banjir.

“APM Terengganu yang juga sebahagian daripada Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri telah bersiap siaga dan mempunyai pegawai terlatih yang diyakini mampu mengemudi bas Amphicoach berkenaaan sekiranya diberi ‘lampu hijau’ oleh kerajaan negeri,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Che Adam berkata, sebelum ini, APM negeri telah memiliki dua buah bot dua alam, Sealegs sebagai aset bagi melakukan misi penyelamat mangsa banjir pada musim tengkujuh.

Berdasarkan pengalaman beliau, bas Amphicoach sesuai untuk operasi menyelamat di kawasan banjir yang tidak berarus deras.

“Salah satu kelebihan bas Amphicoach ialah kegunaannya berupaya meningkatkan bilangan mangsa banjir yang mampu diselamatkan pada satu-satu masa,” katanya.

No comments:

Post a Comment