Translate

Sunday, April 22, 2018

BN Terengganu umum 32 calon DUN, lapan Parlimen

MOHD. AZLI ADLAN dan KAMARIAH KHALIDI

KUALA TERENGGANU  - Pakar motivasi terkenal, Tengku Asmadi Tengku Mohamad sah dicalonkan Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di Parlimen Kuala Nerus pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail yang baru bersara berkuat kuasa hari ini pula dipertaruhkan BN untuk merebut kembali kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

BN Terengganu turut mempertaruhkan dua calon wanita iaitu Exco Pergerakan Wanita, Toh Puan Zaitun Mat Amin di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payung dan Bendahari Pergerakan Wanita negeri, Datuk Zainun Abu Bakar di DUN Sura.

Dua penyandang pula digugurkan iaitu Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari dan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh yang masing-masing merupakan penyandang Parlimen Hulu Terengganu dan Setiu.

BN negeri juga kembali memberi kepercayaan kepada dua wakil rakyat yang digugurkan pada PRU-13 dengan mencalonkan semula Datuk Rosol Wahid dan Datuk Mohamad Awang Tera masing-masing di Parlimen Hulu Terengganu dan DUN Chukai.

Pengerusi Jawankuasa Perumahan, Pihak Berkuasa Tempatan dan Kesejahteraan Bandar Terengganu, Datuk Mohamad Jidin Shafie yang merupakan penyandang DUN Permaisuri pula kembali bertanding di Parlimen Setiu.

Dua bekas Menteri Besar Terengganu iaitu Datuk Seri Idris Jusoh dan Datuk Seri Ahmad Said juga kekal bakal mempertahankan kerusi masing-masing iaitu Parlimen Besut dan DUN Kijal.


Pengumuman calon BN Terengganu itu dilakukan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman yang turut akan mempertahankan DUN Seberang Takir di Kediaman Rasmi Seri Iman di sini sebentar tadi.

No comments:

Post a Comment