Translate

Wednesday, February 7, 2018

Lif rosak di HSNZ, Kuala Terengganu kembali pulih

KUALA TERENGGANU – Kesukaran pelawat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hampir selesai selepas salah sebuah lif yang sering rosak sejak beberapa tahun lalu kembali pulih semalam.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu, Che Kamaruddin Bahar berkata, lif nombor lima tersebut telah beroperasi semula untuk kegunaan awam lima hari lebih awal daripada jadual penyerahan sebelum ini.

“Kerja-kerja membaik pulih lif nombor lima telah selesai dan JKR menyerahkannya kepada pengurusan HSNZ untuk kegunaan awam hari ini (semalam).

“Sebuah lagi iaitu lif nombor empat sedang dibaik pulih dan kerja-kerja pembaikan dijangka siap sepenuhnya esok,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan penyerahan lif tersebut kepada Pengarah HSNZ, Dr. Nor Azimi Yunus.

Che Kamaruddin berkata, alat ganti untuk membaiki lif nombor empat menggunakan peruntukan RM1.6 juta melalui Jawatankuasa Pembangunan Persekutuan telah tiba kelmarin.

Menurut beliau, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negeri Terengganu akan melakukan pengujian semula lif nombor empat terbabit bagi memastikan piawaian keselamatan dipatuhi.

Masalah kerosakan lif yang berusia antara 17 hingga 31 tahun di blok utama HSNZ itu sering menjadi rungutan orang ramai sehingga menjadi tular di laman sosial sebelum ini.

No comments:

Post a Comment