Translate

Sunday, February 18, 2018

Keunikan budaya Cina Peranakan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu akan memohon pengiktirafan keunikan warisan dan kebudayaan masyarakat Cina Peranakan negeri itu daripada Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, negeri tersebut mempunyai 28,300 masyarakat Cina Peranakan yang kebanyakan menetap di bandar raya ini terutama Kampung Cina di sini.

"Komuniti Cina negeri ini mempunyai keunikan tersendiri dengan kebanyakannya bertutur dalam loghat Melayu Terengganu, selesa memakai baju kebaya selain mampu membaca tulisan Jawi serta memasak masakan Melayu.

"Kita akan cuba memastikan kebudayaan dan warisan tersebut kekal lestari dan mendapat pengiktirafan UNESCO," katanya selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar di Kampung Cina di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi MCA Terengganu, Datuk Toh Chin Yaw dan Pegawai Penyelaras DUN Bandar, Toh Seng Cheng.

Ahmad Razif memberitahu, UNESCO pernah menolak permohonan kerajaan negeri Terengganu sebelum ini untuk menggazetkan Kampung Cina di sini sebagai tapak warisan dunia kerana kebanyakan bangunan yang terdapat di perkampungan Cina Peranakan terbabit telah diubah suai sehingga kehilangan keasliannya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri Terengganu akan cuba memohon sekali lagi untuk mendapatkan pengiktirafan UNESCO bagi kategori warisan kebudayaan pula.

Ahmad Razif berkata, setakat ini, khazanah dan warisan Terengganu yang mendapat pengiktirafan UNESCO hanyalah Batu Bersurat Terengganu yang dianggap barangan purba bernilai tinggi.

Penemuan batu bersurat bertulisan jawi di Kampung Buluh, Kuala Berang, Hulu Terangganu pada tahun 1887 mencatatkan kedatangan Islam di Terangganu sebelum abad ke-14 lagi.

habis

No comments:

Post a Comment