Translate

Monday, February 26, 2018

Jurukimpal melecur tong dram meletup

DUNGUN – Seorang jurukimpal cedera parah selepas tong dram yang dipotongnya tiba-tiba meletup di sebuah bengkel membuat perabot di Kampung Baru Tebing Tembah, Paka dekat sini semalam.

Dalam kejadian pukul 11.40 pagi itu, Muhammad Salehuddin Mohd. Noor, 25, melecur kira-kira 50 peratus pada anggota badannya akibat terkena letupan tersebut.

Ketua Zon Dua Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Azmi Ab. Rahim berkata, kejadian berlaku ketika mangsa sedang melakukan kerja-kerja kimpalan ke atas tong dram terbabit sebelum ia tiba-tiba meletup sewaktu dipotong.

Jelasnya, impak letupan itu menyebabkan mangsa terpelanting dan hampir keseluruhan pakaiannya terbakar.

“Siasatan awal mendapati tong dram terbabit berkemungkinan masih mengandungi bahan mudah terbakar dipercayai alkohol.

“Kami percaya letupan itu berpunca daripada percikan api yang mengenai bahan mudah terbakar di dalam tong dram berkenaan sewaktu kerja-kerja kimpalan dilakukan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurut Azmi, Muhammad Salehuddin dikejarkan ke Hospital Dungun di sini untuk menerima rawatan sebelum dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu bagi rawatan lanjut.

No comments:

Post a Comment