Translate

Thursday, February 15, 2018

Jurukimpal melecur teruk terkena letupan tong dram

DUNGUN - Seorang jurukimpal cedera parah selepas tong dram yang sedang dipotongnya tiba-tiba meletup di sebuah bengkel membuat perabot di Kampung Baru Tebing Tembah, Paka dekat sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 11.40 pagi itu, Muhammad Salehuddin Mohd. Noor, 25, melecur kira-kira 50 peratus daripada anggota badannya akibat letupan terbabit.

Ketua Zon Dua Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Azmi Ab. Rahim berkata, sewaktu kejadian, Muhammad Salehuddin sedang melakukan kerja-kerja kimpalan terhadap tong dram terbabit sebelum tong dram terbabit tiba-tiba meletup sewaktu sedang dipotong menyebabkan mangsa terpelanting dan terbakar hampir keseluruhan pakaiannya.

Beliau berkata,siasatan awal mendapati tong dram terbabit berkemungkinan masih mengandungi bahan mudah terbakar dipercayai alkohol sewaktu kerja-kerja pengimpalan sedang dilakukan.

"Kami percaya letupan itu berpunca daripada percikan api yang mengenai bahan mudah terbakar di dalam tong dram berkenaan sewaktu kerja-kerja kimpalan dilakukan,"katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment