Translate

Saturday, February 24, 2018

Bas dua alam bakal dipamer pada Ekspo Terengganu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SETIU – Bas Amphicoach atau dua alam milik Kerajaan Negeri Terengganu yang boleh beroperasi di darat dan air bakal dipamerkan buat julung-julung kalinya pada Ekspo Terengganu pada 25 Februari hingga 3 Mac depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman (gambar kecil) berkata, pengunjung terutama rakyat negeri ini boleh menyaksikan sendiri bas Amphicoach pertama di negara ini pada ekspo yang bakal diadakan di pekarangan Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus.

“Bas Amphicoach ini sudah sampai di Terengganu pagi tadi (semalam) dan akan menjalani pemeriksaan Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Laut untuk kelulusan beroperasi pada masa terdekat.

“Kerajaan negeri akan memohon permit sementara untuk dipamerkan pada Ekspo Terengganu,” katanya selepas melepaskan benih udang di Ladang Akuakultur Udang Bersepadu di Kampung Nyatuh di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pihak Berkuasa Tempatan dan Kesejahteraan Bandar Terengganu, Datuk Mohd. Jidin Shafie dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Blue Archipelago, Wan Nadhri Wan Fauzi.
Menurut Ahmad Razif, bas dua alam itu kini ditempatkan di Depoh Jabatan Kerja Raya, Kuala Terengganu sehingga lesen operasi diperoleh.

Bas Amphicoach buatan Malta berharga kira-kira RM3 juta tersebut merupakan ke-13 yang beroperasi di seluruh dunia.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Terengganu membeli bas terbabit untuk kegunaan banjir dan pelancongan pada tahun 2014.

No comments:

Post a Comment