Translate

Saturday, February 3, 2018

Ar-Rahnu MAIDAM beri durian runtuh pada tahun 2018

MAJLIS Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (MAIDAM) merupakan perintis kepada penubuhan pusat pajak gadai berlandaskan Islam atau lebih dikenali sebagai Ar-Rahnu di negara ini menerusi pembukaan Muassasah Gadaian Islam Terengganu (MGIT) pada 15 tahun lalu.

Pembukaan MGIT yang pertama pada 23 Januari 1992 bertujuan untuk membebaskan umat Islam di Terengganu khasnya daripada terus dibelenggu gejala riba yang dimanipulasi sistem pajak gadai konvensional pada ketika itu.

Seiring dengan peredaran semasa, MGIT yang kini dikenali sebagai Ar-Rahnu MAIDAM kian berkembang dengan pembukaan sembilan cawangan di semua lapan daerah di Terengganu.

Setiap satu daerah mempunyai satu cawangan Ar-Rahnu MAIDAM kecuali Dungun memiliki dua iaitu di Kuala Dungun dan Bandar Al-Muktafi Billah Shah.

Skim Ar-Rahnu memberi kemudahan pinjaman bercagar secara mudah dan cepat berlandaskan syariat Islam bagi membantu individu menangani kehendak aliran tunai.

Barang pajakan yang boleh diterima Ar-Rahnu MAIDAM adalah barangan kemas dan bar emas yang mempunyai mutu emas seperti 999, 950, 916, 875 dan 835.

Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, sejak penubuhan Ar-Rahnu MAIDAM pada 15 tahun lalu, pusat pajak gadai Islam tersebut telah meluluskan perbiayaan terkumpul sebanyak RM1.4 bilion.

"Kadar perbiayaan yang diluluskan semua sembilan Ar-Rahnu MAIDAM di seluruh Terengganu pada masa ini dianggarkan RM130 juta setahun.

"Ia telah memberi manfaat kepada kira-kira 50,000 pelanggan setiap tahun atau purata 4,000 orang sebulan terutamanya daripada golongan peniaga, usahawan kecil dan sederhana, nelayan, petani dan penjawat awam, " katanya.

Shaikh Harun berkata, selain perbiayaan pajak gadai Islam, Ar-Rahnu MAIDAM juga menyediakan perkhidmatan lain seperti mencuci barangan kemas, simpanan barangan kemas dan harta lain yang bernilai, pembekalan sistem e-Rahnu dan latihan serta jururunding.

Beliau berkata, Ar-Rahnu MAIDAM terkenal sebagai pusat pajak gadai Islam yang menawarkan kadar perbiayaan antara tertinggi di negara ini iaitu 80 peratus daripada nilai barangan kemas yang hendak dicagar atau pun maksimum RM10,000.

"Selain itu, Ar-Rahnu MAIDAM juga mengenakan upah simpan yang paling rendah iaitu antara 50 sen hingga 75 sen sebulan sepanjang tempoh gadaian bergantung kepada nilai barangan.

"Tambah istimewa, upah simpan tidak dikenakan kepada kepada pengadai yang mencagar barangan kemas bernilai bawah RM1,000," jelasnya.

Shaikh Harun berkata, Ar-Rahnu MAIDAM bakal melakukan lima penambahbaikan dalam operasinya yang memberi keuntungan berganda kepada pelanggan pada tahun 2018.

Menurut beliau, berita baik pertama ialah pengecualian caj upah simpan akan diperluaskan kepada cagaran barang kemas yang bernilai sehingga RM2,000.

"Selain itu, Ar-Rahnu MAIDAM akan memperkenal skim Ar-Jauhar yang menawarkan tempoh pembayaran balik yang lebih panjang iaitu 24 bulan berbanding maksimum 12 bulan pada masa ini.

"Pelanggan skim itu juga akan diberikan pengecualian pembayaran balik selama empat bulan. Ini bermakna pengadai diberi empat bulan sebagai waktu bertenang dan hanya akan memulakan pembayaran balik pada bulan kelima," katanya.

Shaikh Harun berkata, penambahbaikan keempat pula ialah kadar perbiayaan Ar-Rahnu MAIDAM yang kini sehingga RM10,000 akan ditingkatkan sehingga RM30,000 pada tahun hadapan.

Ujar beliau, pengadai yang mencagarkan lebih daripada satu barang kemas juga akan dibenarkan mengambil satu persatu cagaran mereka sebaik pembayaran balik mencapai nilai barangan itu biar pun tempoh matang masih belum tamat.

"Contohnya seorang pelanggan mencagar lima barang kemas bernilai RM5,000 setiap satu bagi mendapatkan perbiayaan RM20,000 selama 24 bulan.

"Dia boleh menebus dan mengambil semula satu demi satu barang kemas itu sebaik pembayaran baliknya mencapai jumlah RM5,000 bagi tiap-tiap transaksi tanpa perlu menunggu tempoh matang 24 bulan itu," katanya.

Sehubungan itu, Shaikh Harun berharap strategi baharu Ar-Rahnu MAIDAM itu dapat mencapai matlamatnya iaitu memberi perkhidmatan memudahkan dan meringan seberapa banyak individu yang mahu aliran tunai segera.

Beliau berkata, Ar-Rahnu MAIDAM juga mengunjur peningkatan kelulusan perbiayaan tahunan kepada RM150 juta pada tahun hadapan.



No comments:

Post a Comment