Translate

Sunday, January 21, 2018

TFC1 johan Piala MB Terengganu

MOHD. AZLI ADLAN dan KAMARIAH KHALIDI

KUALA TERENGGANU - Terengganu FC 1 (TFC1) muncul juara edisi sulung Piala Menteri Besar (MB) Terengganu selepas menewaskan pasukan 'adik', Terengganu FC II (TFCII) 4-2 pada aksi final di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini sebentar tadi.

Kejohanan yang merupakan sebahagian daripada persiapan pramusim bagi menghadapi saingan Liga Malaysia anjuran Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) itu turut disertai Pahang dan Melaka.

TFC1 membuka jaringan menerusi pemain sayap kanan, Abdul Malik Mat Ariff yang bijak memanfaatkan hantaran lintang kapten pasukan, Tchetche Kipre pada minit ke-16.

Kipre kemudian menjadikan kedudukan 2-0 selepas mudah menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-35.

Penjaga gol TFCII, Mohd. Shamirza Yusoff tewas buat kali ketiga selepas gagal menyelamatkan tendangan padu pemain tengah lawan, Mohd. Faiz Mohd. Nasir pada minit ke-64.

Kipre yang berasal dari Ivory Coast meledak gol kedua peribadi sekali gus meletakkan TFC1 selesa dengan kedudukan 4-0 pada minit ke-67.

TFCII memperolehi gol saguhati menerusi dua penyerang import, Bruno Suzuki dan Akanni Sunday pada minit ke-72 dan 88.

Piala dan ganjaran wang tunai, RM50,000 disampaikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman yang juga Presiden PBSNT kepada TFC1.


Sebelum ini, Pahang dan Melaka tersingkir awal selepas masing-masing hanya mencatat satu kemenangan dan dua kekalahan pada pusingan awal. - K! ONLINE 

No comments:

Post a Comment