Translate

Sunday, January 14, 2018

Mangsa penipuan diminta tampil bantu siasatan

KEMAMAN – Mangsa Skim Pelaburan Permodalan Hartanah yang didakwa didalangi seorang bekas pegawai polis diminta tampil untuk membantu siasatan kes penipuan dipercayai dilakukan dua tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd. Said Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati ia melibatkan hampir 200 mangsa skim pelaburan palsu dengan jumlah kerugian dianggarkan lebih RM1 juta.

Beliau berkata, mangsa skim pelaburan tertuduh yang pernah bertugas sebagai pegawai siasatan berpangkat inspektor di Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman dipercayai dari seluruh negara termasuk dalam kalangan anggota polis.

“Modus operandi yang dipercayai digunakan tertuduh adalah menawarkan pelaburan melibatkan transaksi pembelian rumah terpakai di sekitar Pantai Timur dengan minimum satu lot berharga RM2,000.

“Mangsa skim pelaburan yang dijalankan sepanjang tahun 2016 itu telah dijanjikan keuntungan tiga kali ganda dalam tempoh secepat seminggu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman di sini kelmarin.

Mohd. Said berkata, siasatan mendapati sebahagian besar transaksi pembelian dan penjualan rumah yang dikatakan dilaburkan dalam skim cepat kaya itu sebenarnya tidak wujud.

Menurut beliau, tertuduh telah meletakkan jawatan sebagai pegawai polis pada Ogos 2016 dan skim pelaburan itu mula disyaki sebagai peni­puan selepas lelaki itu gagal membayar keuntungan kepada pelabur-pelabur.

“Tertuduh juga disyaki mengambil deposit secara tidak sah dan tidak mendapat kebenaran Bank Negara kerana syarikat terbabit didaftarkan sebagai milikan tunggal,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan, seorang bekas pegawai polis didakwa di Mahkamah Sesyen di sini kerana menawar skim pelaburan palsu.
Turut didakwa isterinya kerana bersubahat dalam kes sama mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment