Translate

Saturday, January 20, 2018

Khidmat buang tatu percuma

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS  – Pusat Kecantikan dan Spa, Estetika Medispa dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) menawarkan perkhidmatan membuang tatu secara percuma kepada individu mualaf sebagai salah satu program tanggungjawab sosial korporat.
Ketua Pegawai Eksekutif Estetika Medispa, Dr. Abdul Haq Ab. Wasa berkata, Perkim memberitahu ramai dalam kalangan mualaf yang mempunyai kesedaran untuk membuang tatu pada mereka sebelum memeluk Islam menghadapi keka­ngan kerana kosnya yang agak mahal.

Beliau berkata, berdasarkan harga pasaran, caj yang dikenakan sehingga RM1,000 bagi setiap sesi serta proses pembuangan tatu memerlukan banyak sesi mengikut saiz dan warnanya.

Abdul Haq berkata, rawatan menggunakan pancaran laser bagi memecahkan pigmen warna sekali gus memudarkan tatu berkenaan memakan masa antara 15 minit hingga 45 minit bagi setiap sesi.

“Perkhidmatan membuang tatu secara percuma ini boleh didapati di lapan cawangan kami antaranya di Kuala Nerus, Kemaman, Shah Alam, Bangi, Klang, Pulau Pinang, Kuantan dan Kota Bahru.

“Setakat ini, empat mualaf lelaki telah tampil untuk menjalani rawatan membuang tatu tersebut sejak ia dilancarkan bulan lalu,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Bagi mualaf yang berminat, boleh menghubungi talian 017-934 8974.

No comments:

Post a Comment