Translate

Wednesday, January 24, 2018

Guru besar didakwa seleweng wang zakat RM5,000

KUALA TERENGGANU – Seorang guru besar sebuah sekolah rendah di Kemaman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menyalahgunakan wang zakat berjumlah RM5,000 dua tahun lalu.

Zabidah Sulaiman, 57, yang kini merupakan Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gajah, Kemaman membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mohammad Haldar Abdul Aziz.

Zabidah dituduh mengemukakan borang akuan terima palsu berhubung pe­nerimaan agihan wang zakat RM5,000 sumbangan Ladang Rakyat Terengganu Sdn. Bhd. ketika menjadi Guru Besar SK Cheneh Baru 2, Kemaman.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di bilik mesyuarat Ladang Rakyat Terengganu, Kemaman pada 13 Julai 2015.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Wang zakat itu sepatutnya disalurkan kepada 100 murid miskin sekolah itu tetapi didakwa tidak diserahkan.

Hakim Mohammad Haldar membenarkan tertuduh dibebaskan dengan wang jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 11 Februari depan. Zabidah membayar wang jaminan tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd. Zamry manakala tertuduh diwakili peguam bela Che Amir Che Musa.

No comments:

Post a Comment