Translate

Friday, December 29, 2017

Ubi rebus nutrisi menyihatkan

PEMAKANAN ubi secara rebus oleh penduduk Pantai Timur termasuk Terengganu terutama pada musim tengkujuh patut digalakkan kerana ia  merupakan nutrisi yang sihat.

Timbalan Dekan (Bakat dan Penyelidik) Pusat Pengajian Sains dan Teknologi Makanan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Hayati Mohd. Yusof berkata, pelbagai jenis ubi tersebut seperti ubi kayu, keledek, itik, badak dan keladi telur merupakan pengganti nasi yang ideal sebagai sumber karbohidrat.

Beliau berkata. ubi juga mengandungi karbohidrat yang menghasilkan kalori bagi memberi tenaga kepada badan selain rasa kenyang seperti nasi.

"Pemakanan ubi secara rebus juga lebih berkhasiat kerana masih mengandungi mineral dan vitamin yang memberi diperlukan kepada badan manusia.

"Sebaliknya, kebanyakan beras yang berada di pasaran sudah melalui pelbagai proses termasuk pelunturan warna yang dikhuatiri telah kehilangan mineral dan vitamin tersebut," jelas beliau ketika ditemui di pejabat di UMT, Kuala Nerus, Terengganu baru-baru ini.

Hayati berkata, berdasarkan kajian, ubi terutama ubi kayu mengandungi mineral potasium tinggi yang mampu membantu merendahkan tekanan darah dan mengurang risiko strok.

Ujar beliau, kandungan potasium yang tinggi dalam ubi kayu itu baik bagi penghidap penyakit tekanan darah tinggi jika diambil dengan kerap.

"Ubi kayu juga mengandungi vitamin C selain kandungan garam secara semulajadi yang rendah. Kajian yang dilakukan mendapati setengah cawan ubi kayu cuma mengandungi 2 miligram sodium.

"Saya boleh katakan ubi merupakan pilihan yang baik sebagai sumber karbohidrat kerana ia biasanya diambil (di makan) secara semulajadi tanpa diproses seperti beras dan tepung gandum," katanya.

Hayati berkata, pemakanan ubi secara semulajadi dengan cara direbus juga mampu mengurangkan risiko penyakit akibat pengambilan karbohidrat berlebihan seperti serangan jantung dan diabetes.

No comments:

Post a Comment