Translate

Wednesday, December 20, 2017

PIBK bawa perubahan drastik kepada Sesiga

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

PELAKSANAAN Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK) sejak setahun lalu telah membawa perubahan 360 darjah kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gajah (Sesiga), Kemaman Terengganu.

Sekolah yang terletak pendalaman tersebut dan hanya mempunyai 202 murid dan 25 guru kini menjadi sebutan ramai sehingga di peringkat nasional.

Proses kemenjadian meliputi prestasi akademik, ko-korikulum murid menunjukkan peningkatan mendadak sejak PIBK dilaksanakan pengurusan sekolah diketuai Guru Besar Sesiga, Zabidah Sulaiman pada Mei 2016.

PIBK yang mengabungkan penglibatan secara aktif ibu bapa dan komuniti setempat tersebut memberi tonik tambahan kepada tenaga pengajar SK Pasir Gajah untuk berbakti kepada anak watan.

Zabidah berkata, beliau berazam untuk melaksanakan PIBK yang merupakan salah agenda Anjakan Kesembilan, Pelan Pembangunan Pendidikan Negara 2013-2025 sebaik diamanahkan untuk menjadi Guru Besar Sesiga mulai Januari tahun lalu.

Beliau yang pernah mengajar di Sesiga pada lewat tahun 1980-an berazam untuk meningkatkan prestasi sekolah dan  mengubah sigma Sesiga sebagai sekolah terpinggir kerana terletak jauh di pendalaman dan sering dilanda banjir setiap kali musim tengkujuh.

"Muridnya yang kebanyakannya terdiri daripada keluarga kurang berkemampuan juga sering dianggap tidak berkeyakinan diri dan lemah dalam segi akademik mahu pun ko-kurikulum.

"Saya merangka perancangan untuk mengembleng guru, ibu bapa, Jawatankusa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dan komuniti setempat untuk merangsang potensi murid di samping membaiki fasiliti dan kemudahan sekolah ke arah menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih baik," katanya ketika ditemui Kosmo! di SK Pasir Gajah, Kemaman, Terengganu baru-baru ini.

Zabidah berkata, pelaksanaan awal PIBK di Sesiga bermula dengan beliau dan pengurusan sekolah lain dengan berdamping dengan ibu bapa murid yang kebanyakan terdiri daripada penoreh getah dan bekerja kampung bagi meraih keyakinan.

Menurut beliau, mereka mengambil pendekatan menziarahi rumah keluarga murid yang terletak di sekitar Kampung Pasir Gajah setiap kali berlaku kematian dan kenduri-kendara selain melawat ahli keluarga mereka yang sakit di Hospital Kemaman.

"Kami memupuk kemesraan dengan ibu bapa murid. Ia memberi impak positif kepada kehadiran mereka kepada tahap hampir 100 peratus dalam program-program anjuran sekolah kemudiannya.

"Mereka juga tidak lokek menghulurkan tenaga dan buah fikiran bersama bekas murid dalam persatuan alumni demi kemajuan sekolah," katanya.

Zabidah berkata, sokongan tidak berbelah bahagi Pejabat Pendidikan Daerah Kemaman terhadap pelaksanaan PIBK di Sesiga juga telah membuka mata pihak korporat untuk terlibat bersama-sama dalam program pembangunan sekolah.

Beliau berkata, antara pihak korporat dan agensi kerajaan yang aktif menyumbang ialah sebuah syarikat pembinaan, JSF Maju Enterprise, Institu Tadbiran Awam Negara Wilayah Timur, Bank Rakyat dan Bank Islam.

"Antara program yang dianjurkan menerusi PIBK ialah gotong-royong, menaiktaraf bangunan sekolah, kelas malam, solat sunat, ceramah motivasi, program pemuliharaan tuntung dan sesi bersama tokoh.

"Kesannya keceriaan dan kemudahan sekolah berjaya dipulihkan, prestasi akademik meningkat dengan menerima pengiktirafan antara sekolah terbaik bagi kategori minimum D peringkat daerah dan meraih keputusan memberangsangkan bagi acara sukan terutama catur," katanya.

Zabidah memberitahu, kemuncak kejayaan Sesiga ialah mencapai penarafan lima bintang dalam pelaksanaan PIBG di peringkat kebangsaan pada tahun lalu.

Ujar beliau, Sesiga juga telah terpilih mewakili Terengganu bagi kategori Amalan Baik dalam Pelaksanaan PIBK di peringkat kebangsaan yang akan diadakan pada 4 hingga 6 Disember depan di
Institut Aminuddin Baki Bandar Enstek, Labu, Negeri Sembilan.

"Sesiga juga mula meraih kepercayaan untuk berkongsi pengalaman melaksanakan PIBK dalam segi penganjuran bengkel dan gerai pameran anjuran Kementerian Pelajaran," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan JSF Maju Enterprise, Jumali Mamat berkata, beliau tertarik untuk terlibat secara aktif dalam pelaksanaan PIBK di Sesiga setelah melihat kegigihan dan penyatuan Zabidah dan guru-gurunya mendidik murid.

"Setiap program yang Sesiga anjurkan dilakukan secara bersungguh-sungguh dan menunjukkan impak positif. Saya secara peribadi berpuas hati dengan perkembangan positif murid yang terdiri daripada anak kampung dan berharap mereka berjaya pada masa depan.

"Saya percaya sumbangan kepada pembangunan sekolah adalah sumbangan dan pelaburan terbaik untuk membela masa depan masyarakat," katanya.

Pegawai Pendidikan Daerah Kemaman, Idris Bidin pula berkata, pendekatan yang ditunjukkan Sesiga harus dicontohi pengurusan sekolah lain di seluruh negara.

"Komitmen dan kepimpinan Sesiga menyatukan ibu bapa dan komuniti bagi melaksanakan PIBK yang terbukti memberi impak positif kepada murid dan sekolah harus diteladani.

"Jika sekolah pendalaman seperti Sesiga berjaya membuktikan keberkesanan, sekolah-sekolah lain terutama di bandar besar patut mengambil manfaat daripada agenda PIBK ini," katanya.


No comments:

Post a Comment