Translate

Tuesday, December 12, 2017

Penjawat awam Terengganu terima bonus RM1,500

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu mengumumkan pemberian bonus sebanyak RM1,500 kepada 12,756 penjawat awam negeri melibatkan peruntukan sebanyak RM19.13 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, pemberian bonus itu merangkumi semua kakitangan negeri termasuk berstatus sementara tanpa perjawatan, kontrak dan ad hoc.

“Sebanyak RM1,000 akan dibayar pada bulan Januari depan manakala bakinya dilunaskan menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri,” katanya ketika membentangkan Bajet 2018 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di sini semalam.

Terdahulu, beliau membentangkan Bajet 2018 berjumlah RM1.996 bilion dengan defisit sebanyak RM181 juta berbanding anggaran kutipan hasil sebanyak RM1.815 bilion.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri juga telah bersetuju untuk membuat pembayaran khas dengan jumlah dan cara pembayaran sama iaitu RM1,500 kepada 1,326 imam dan bilal masjid serta 1,500 Guru Pintar al-Quran di seluruh Terengganu.

Beliau berkata, pembayaran khas secara sekali sahaja itu melibatkan peruntukan masing-masing RM1.99 juta dan RM2.55 juta itu sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri.

No comments:

Post a Comment