Translate

Saturday, December 30, 2017

Padah curi telefon Nokia dalam masjid

KUALA TERENGGANU - Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Majistret di sini semalam atas kesalahan mencuri sebuah telefon bimbit milik seorang jemaah Masjid Abidin di sini pada Khamis lalu.

Tertuduh, Shahrul Fadlisman Nawi, 26, turut diperintah menjalani hukuman penjara tiga bulan kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri, Mykad sewaktu diperiksa seorang anggota polis pada hari kejadian.

Majistret Abdul Hayyi Salim memerintahkan demikian selepas tertuduh mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan tersebut.

Beliau memerintahkan Shahril Fadlisman menjalani hukuman penjara tersebut secara serentak bermula pada tarikh tangkapan iaitu 14 Disember lalu.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda manakala  tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Shahril Fadlisman didakwa mencuri sebuah telefon bimbit jenama Nokia milik seorang lelaki warga asing pada 14 Disember lalu.

Sewaktu kejadian, mangsa sedang menunaikan solat Subuh antara pukul 5.30 hingga 6 pagi di Masjid Abidin di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, Shahril Fadlisman didakwa gagal mempamerkan kad pengenalan sewaktu diperiksa pihak polis pada pukul 6.58 lagi, hari sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 25 (1) ?? Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda sehingga RM20,000 jika sabit kesalahan.

No comments:

Post a Comment