Translate

Sunday, December 31, 2017

Mesin lupus sampah di Pulau Redang

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri akan menggunakan mesin pelupusan sampah mesra alam pada tahun depan bagi menyelesaikan masalah pengurusan bahan buangan dan sisa pepejal lebih 2,000 penduduk Pulau Redang dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Terengganu, Datuk Mohd. Jidin Shafie berkata, mesin itu berfungsi membakar sampah tanpa mengeluarkan asap.

“Mesin menggunakan teknologi China itu juga boleh menghasilkan baja dan gas metana serta pembekalan tenaga elektrik daripada sisa pembakaran sampah.

“Ia juga dapat menjimatkan ruang dan memanjangkan jangka hayat pusat pelupusan sampah. Sebelum ini, sampah dari Pulau Redang dihantar ke Kuala Terengganu menggunakan bot,” katanya selepas merasmikan program Hias Bandar anjuran Majlis Bandaraya Kuala Terengganu di Dataran Bangau, Batu Burok di sini semalam.

No comments:

Post a Comment