Translate

Friday, December 15, 2017

Mangsa banjir berkurangan

RANTAU PANJANG – Walaupun keadaan banjir di Kelantan masih belum berubah, namun jumlah mang­sa banjir berkurangan kepada 10,985 orang semalam berban­ding 12,493 sebelumnya.

Kesemua mangsa ditempatkan di 52 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di enam jajahan iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah, Pasir Puteh dan Gua Musang.

Menurut portal rasmi bencana negeri, sehingga pukul 6 petang, Pasir Mas masih merekodkan jumlah tertinggi dengan 6,987 mangsa daripada 2,919 keluarga yang ditempatkan di 31 PPS diikuti Tumpat dengan 3,611 (1,281 keluarga) di lapan PPS.

Selain itu, 133 mangsa (34 keluarga) di dua PPS di Kota Bharu, 121 mangsa (30 keluarga) di tiga PPS di Pasir Puteh, 77 mangsa (18 keluarga) di enam PPS di Gua Musang dan 56 mangsa (15 keluarga) di dua PPS di Tanah Merah.

Sehingga petang semalam, keadaan cuaca di negeri ini mendung dan kadangkala hujan.

Sungai Golok mencatat aras air melebihi paras bahaya iaitu 10.32 meter (m) di Rantau Panjang berbanding paras bahaya 9m.

Sementara itu, kerajaan Pusat menyediakan bantuan makanan tambahan kepada kesemua 5,422 keluarga yang terjejas akibat banjir yang melanda negeri ini sejak Ahad lalu termasuk mangsa yang tidak berpindah ke PPS.
Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, bantuan tersebut disalurkan di seluruh PPS dan para petugas juga akan mengunjungi ke setiap rumah penduduk yang terlibat bagi mengagihkan barangan keperluan itu.

“Bantuan makanan yang disediakan di dalam bakul itu merangkumi beras, gula, gandum dan minuman. Apa yang dilakukan ini selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abd. Razak bagi membantu mangsa banjir di negeri ini.

“Bantuan yang diberikan ini adalah tambahan kepada bantuan sedia ada yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan agensi-agensi kerajaan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran agihan makanan kepada mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi di sini semalam.

Di Terengganu, keadaan banjir tidak berubah dengan 921 mangsa ditempatkan di 13 pusat pemindahan di seluruh negeri semalam.
Pengarah Pertahanan Awam Malaysia Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, ia peningkatan berbanding 600 penduduk yang dipindahkan kelmarin.

Beliau berkata, lima daerah terlibat dengan banjir iaitu Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun.

“Marang mencatatkan mang­sa banjir teramai dengan 473 orang diikuti  Kuala Nerus (261), Kuala Terengganu (77), Setiu (65) dan Dungun (45),” ujarnya.

Di Perak, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 568 orang daripada 134 keluarga berbanding 858 semalam.

Ketika ini hanya tujuh PPS masih dibuka iaitu enam di Manjung dan satu di Mualim.

No comments:

Post a Comment