Translate

Monday, December 18, 2017

Ibu tunggal curi perabot rumah sewa dijel, denda RM5,000

KUALA TERENGGANU - Gara-gara mencuri barangan dan perabot di sebuah rumah sewa pada dua bulan lalu, seorang ibu tunggal dijatuhi hukuman penjara 10 bulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Majistret Abdul Hayyi Salim memerintahkan demikian selepas Aizam Abd. Aziz, 44, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan.
Beliau juga mengarahkan agar tertuduh menjalani hukuman penjara tambahan selama lima bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Aizam membayar denda itu.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh, Aizam didakwa menyalahguna harta milik Sharifah Salwa Syed Shafie, 43, secara curang di sebuah rumah sewa di Taman Semarak, Bukit Tunggal, Kuala Nerus pada pukul 11 pagi, 30 September lalu.

Dia didakwa melarikan harta milik mangsa iaitu lima unit penyaman udara, dua katil dan tilam, seunit mesin basuh, seunit peti sejuk, satu set meja makan dan seunit kabinet televisyen.

Dia juga didakwa melarikan sebuah televisyen, sebuah sofa, dua set meja, sebuah seterika bersama papan penggosok, seunit tong gas, 13 unit bantal dan pelbagai peralatan dapur dari rumah yang disewanya.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara dari enam bulan hingga lima tahun dan boleh dikenakan denda mengikut Seskyen 403 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Inspektor Miky Dunstan Muda manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Kosmo! 4 Oktober lalu melaporkan seorang wanita yang disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri perabot dan kelengkapan rumah sewa berjaya ditahan polis di Taman Perdana, Kubang Parit di sini.

Siasatan awal mendapati modus operandi suspek ialah menyewa rumah yang dilengkapi perabot sebelum menghilangkan diri bersama kesemua barangan tersebut beberapa bulan kemudian.

No comments:

Post a Comment