Translate

Tuesday, December 12, 2017

Hasrat Norman tidak kesampaian

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

DUNGUN – Hasrat Norman yang merupakan vokalis kumpulan rock 90-an,  Panji untuk membuat kemunculan semula menerusi sebuah program realiti televisyen tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia kelmarin.
Norman, 55, atau nama sebenarnya, Mohd. Nor Hussin yang popular dengan lagu Sayap Terluka menghembuskan nafas terakhir selepas muntah darah di rumahnya di Jalan Lembah, Kampung Sungai Buaya di sini pada pukul 7.45 malam.

Pemain bass Panji, Din atau nama sebenarnya Hishamuddin Hassan, 45, berkata, dia dan Norman ditawarkan untuk menyertai program hiburan bercorak realiti yang dijadualkan berlangsung pada masa terdekat oleh sebuah stesen televisyen tempatan pada beberapa bulan lalu.

“Mohd. Nor (Norman) bersemangat untuk membuat kemunculan semula walaupun keadaannya agak lemah dan tidak bermaya selepas diserang penyakit misteri sejak pertengahan tahun ini.

“Begitupun, saya berkira-kira untuk menarik diri (menyertai program realiti itu) selepas melihat keadaannya (Norman) semakin teruk sewaktu menziarahinya tiga minggu lalu. Tahu-tahu sahaja dia meninggal dunia malam tadi (kelmarin),” ceritanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahya di sini semalam.

Biarpun dalam hujan renyai, seramai 250 orang termasuk empat anaknya iaitu Mohd. Faris Haikal, 15; Mohd. Fikri Farhan, 14; Mohd. Farith Firzan, 13 dan Nur Lisa Alani Huzma, 11, hadir menyaksikan upacara pengebumian Norman yang selesai pada pukul 12 tengah hari.
Din yang kini berkhidmat di Pusat Kesenian dan Warisan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berkata, sewaktu pertemuan terakhirnya dengan Allahyarham Norman itu, beliau sempat menyerahkan sumbangan RM2,000 yang dikutip dari konsert amal sempena Pesta Konvokesyen UniSZA kesembilan baru-baru ini.

Menurutnya, Panji yang turut popular dengan lagu Semilir dan Kasih Tak Pasti pernah tercalon dalam senarai akhir anugerah Artis Baharu Terbaik (Berkumpulan) dalam Anugerah Industri Muzik pertama setelah muncul dengan album debut, Senang pada tahun 1993.

Sementara itu, adik Norman, Mohd. Shafie, 54, berkata, abangnya menghembuskan nafas terakhir di pangkuan dirinya dan anak sulung, Mohd. Faris Haikal setelah tiba-tiba mengadu sakit dada.

“Sewaktu dadanya diurut oleh Mohd. Faris Haikal, dia tiba-tiba muntah darah sebelum tidak sedarkan diri. Saya cuba mengajarnya dua kalimah syahadah, cuma mulutnya dilihat kumat-kamit seketika,” katanya.

No comments:

Post a Comment