Translate

Thursday, December 14, 2017

Gua Musang dilanda banjir

KOTA BHARU – Gua Musang menjadi jajahan terbaharu dilanda banjir dengan merekodkan keseluruhan mangsa di negeri ini seramai 13,162 orang melibatkan 5,227 keluarga dipindahkan ke 63 pusat pemindahan sementara (PPS).

Kawasan di Gua Musang yang terjejas ialah di Kampung Jeram Tekoh, Kampung Limau Kasturi, Bandar Lama, Kampung Kerin­ting, Kampung Lembaga, Kampung Kundur, Kampung Tiong, Tanah Putih, Kampung Kolam Mas, Batu Papan, Sungai Chindai, Kampung Batu 1 dan Kampung Batu 2.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd. Taufik Maidin berkata, seramai 117 mang­sa terdiri daripada 27 keluarga telah dipindahkan ke tiga PPS di Sekolah Menengah Tengku Indra Petra 1, Sekolah Kebangsaan (SK) Kasturi 2 dan SK Limau Kasturi 2.

Menurut portal rasmi bencana negeri, sehingga pukul 6 petang, lima lagi jajahan iaitu Pasir Mas mencatatkan mangsa tertinggi dengan 9,325, diikuti Tumpat (2,589 orang); Pasir Puteh (828); Kota Bharu (185) dan Tanah Merah (118).

Sungai Golok di Rantau Panjang mencatat aras air melebihi paras bahaya iaitu 10.28 meter berban­ding paras bahaya 9 meter.
Sungai Galas di Dabong di sini pula mencatatkan paras amaran iaitu 35.31 meter dengan paras bahayanya ialah 38 meter.
Sementara itu di Terengganu, sebanyak empat daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang dan Dungun kembali dilanda banjir semalam berikutan hujan lebat selama lebih 24 jam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, sebanyak tujuh pusat pemindahan yang ditutup kelmarin kembali dibuka semalam iaitu empat di Marang dan ma­sing-masing satu di Dungun, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

“Seramai 284 mangsa daripada 83 keluarga telah ditempatkan di lapan pusat pemindahan di dae­rah-daerah terbabit,” katanya.

Dalam pada itu, di Padang Besar, Perlis, mangsa banjir di ne­geri tersebut terus merekodkan peningkatan apabila 25 keluarga merangkumi 93 mangsa mendiami dua pusat pemindahan banjir di sini setakat pukul 4 petang semalam.

Menurut Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis, jumlah mangsa yang menetap di MRSM Beseri meningkat empat mangsa berbanding 16 sebelum ini menjadikan jumlah keseluruhan 20 mangsa.

Di Taiping, Perak pula, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak dalam kenyataannya berkata, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Tai­ping iaitu di Kampung Jawa Sungai Nyior, Trong yang me­nempatkan 21 mangsa.

Kata kenyataan itu, setakat pukul 1 tengah hari semalam, jumlah keseluruhan mangsa banjir di Perak adalah seramai 952 orang terdiri daripada 223 keluarga.

Daerah Manjung mencatat jumlah teramai iaitu 898 dengan 438 daripadanya ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Su­ngai Batu, Pantai Remis; SK Datok Ishak  (129); SK Nakhoda Segari (33); SK Muhammad Saman (22), manakala masing-masing 92 orang di Sekolah Agama Tebuk Yan, dewan orang ramai Batu 4 Segari dan dewan orang ramai Batu 8, Segari.

Dalam pada itu, banjir di daerah Manjung menyebabkan laluan hampir 17 kilometer di Batu 3 hingga Batu 10, Segari ditutup pada semua jenis kenderaan sejak kelmarin sehingga 21 Disember ini ekoran jalan itu mengalami kerosakan teruk akibat bencana itu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, susulan penutupan jalan tersebut, orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif antaranya Jalan Simpang Batu Hampar ke Beruas dan Ayer Tawar atau sebaliknya.

No comments:

Post a Comment