Translate

Tuesday, December 12, 2017

Bekalan air percuma tahun depan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seramai 1.22 juta penduduk Terengganu bakal menikmati bekalan air percuma sehingga 20 meter padu sebulan mulai awal tahun depan.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, pemberian bekalan air percuma itu hanya melibatkan pengguna domestik di negeri ini.

“Ia bakal memberi manfaat sebanyak 100,000 buah rumah di seluruh Terengganu dan melibatkan peruntukan kira-kira RM6.3 juta setahun.

“Kerajaan negeri komited untuk menjaga kebajikan rakyat khasnya yang melibatkan bekalan air bersih kepada rakyat,” katanya ketika membentangkan Bajet 2018 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-13 di sini semalam.

Terdahulu, beliau membentangkan Bajet 2018 berjumlah RM1.996 bilion dengan defisit sebanyak RM181 juta berbanding anggaran kutipan hasil sebanyak RM1.815 bilion.

Ahmad Razif berkata, pengumuman rebat itu membuktikan keprihatinan kerajaan walaupun tarif air Terengganu merupakan kedua te­rendah di negara ini iaitu 42 sen bagi setiap satu meter padu bagi penggunaan 20 meter padu terawal untuk kategori pengguna domestik.

Menurut beliau, rasional di sebalik pemberian 20 meter padu bekalan air bersih percuma itu ialah untuk menggalakkan rakyat Terengganu ber­jimat-cermat dan berhemah dalam penggunaan air bersih.

“Golongan B40 dan M40 (isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana) akan terdorong untuk mengehadkan penggunaan bekalan air bersih di rumah masing-masing sehingga 20 meter padu sebulan sahaja bagi terus menikmatinya secara percuma bagi mengurangkan kos sara hidup mereka,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri juga akan memperuntukkan RM47.88 juta untuk pembangunan bekalan air dan program pengurangan Air Tidak Berhasil (NRW) di seluruh Terengganu sepanjang tahun depan.

No comments:

Post a Comment