Translate

Monday, December 11, 2017

Banjir merebak ke Pahang

Oleh ZAID MOHD. NOOR, FIRDAUS HASSAN, MOHD. AZLI ADLAN dan GHAZALI ALIAS

KUANTAN – Selepas dua negeri di Pantai Timur, Kelantan dan Terengganu, Pahang pula mula dilanda banjir dengan 47 penduduk daripada 14 keluarga di dua buah kampung di Raub menjadi kumpulan mangsa pertama dipindahkan di negeri ini ekoran kediaman mereka dinaiki air malam tadi.

Sebanyak tiga pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka menempatkan 10 keluarga melibatkan 38 mangsa yang terjejas akibat banjir di daerah ini bermula malam kelmarin.

Tiga PPS yang dibuka ialah Surau Rancangan Rumah Murah (RRM) Cheroh 3, Balai Raya Kampung Ulu Sungai, Batu Malim dan Balai Raya Kuala Semantan di sini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang, Kolonel Zainal Yusoff berkata, banjir berlaku ekoran limpahan air Sungai Lipis dekat Batu Malim di sini.

“APM telah bersiap sedia untuk memindahkan mangsa ke PPS berhampiran sekiranya trend banjir meningkat,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Sementara itu, Zainal memberitahu, terdapat dua jalan di daerah ini yang ditutup ekoran terjejas banjir.

“Kita juga telah menutup jalan sepanjang 300 meter kepada kenderaan ringan di Jalan Sengkela ekoran dinaiki air setinggi 0.4 meter,” katanya.

Dalam pada itu katanya, sebanyak 71 penduduk daripada 21 buah keluarga di Kampung Orang Asli Sungai Kelit di sini terputus hubungan sejak pukul 3 pagi semalam ekoran kejadian tanah runtuh di jalan masuk menuju ke kampung mereka.

Sementara itu, di Terengganu, jumlah mangsa banjir di negeri itu terus meningkat kepada 1,479 orang setakat 8 pagi semalam berbanding 1,148 orang pada pukul 8 malam kelmarin.

Jumlah mangsa banjir paling ramai ialah di Kuala Nerus iaitu 824 orang di empat pusat pemindahan sementara berban­ding 478 orang malam semalam.
Mangsa paling ramai ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Gong Badak iaitu 659 orang diikuti SK Tok Jiring (81), SK Bukit Gasing (59) dan SK Bukit Nenas (25).

Pengarah APM Terengganu, Leftenan Kolonel Che Adam A. Rahman berkata, peningkatan mendadak di Kuala Nerus itu disebabkan fenomena air pasang sehingga air tidak dapat mengalir ke laut dan banyak kawasan perumahan dinaiki air.

Sementara itu, di Kota Bharu, Kelantan, banjir yang me­landa negeri itu sejak sembilan hari lalu semakin pulih dengan jumlah mangsa di PPS menurun kepada 9,779 orang melibatkan 4,051 keluarga.

Setakat pukul 6 petang semalam, mangsa banjir di dua jajahan iaitu Tanah Merah dan Gua Musang sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing dengan PPS ditutup secara berperingkat.

Pasir Mas khususnya Rantau Panjang menunjukkan penurunan ketara kepada 6,145 orang daripada 2,770 keluarga di 21 PPS.

Selain itu, di Tumpat, jumlah mangsa dilihat tidak berubah dengan 3,573 orang membabitkan 1,266 keluarga di lapan PPS, manakala di Kota Bharu mencatatkan 37 mangsa dan Pasir Puteh (24 orang).

Paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang pula masih melebihi tahap bahaya iaitu 10.20 meter, manakala paras air di beberapa lokasi di Sungai Kelantan khususnya Sungai Galas, Sungai Lebir dan Tangga Krai masih berada pada tahap berjaga-jaga.

Dalam tinjauan Kosmo! di beberapa kawasan mendapati, kebanyakan mangsa mengambil kesempatan cuaca baik sepanjang hari semalam untuk membersihkan rumah masing-masing.

No comments:

Post a Comment