Translate

Wednesday, November 22, 2017

SPRM Terengganu ada 11,000 anggota Gerah

KUALA NERUS – Terengganu memiliki paling ramai ahli Sahabat Gerakan Revolusi Antirasuah (Gerah) di bawah kelolaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan keanggotaannya kini mencecah hampir 11,000 orang.

Pengarah SPRM Terengganu, Mohd. Zaki Hassan berkata, sambutan memberangsangkan penduduk negeri ini terhadap Gerah membolehkan ia melepasi sasaran awal iaitu 10,000 anggota sewaktu pelancarannya pada Ogos lalu.

Beliau berkata, Gerah merupakan medium kepada masyarakat untuk me­nyalurkan maklumat, tenaga dan buah fikiran kepada SPRM bagi menjayakan usaha-usaha pencegahan rasuah.

“Program Ikrar Bebas Rasuah (IBR) juga mendapat sambutan menggalakkan dengan 46 jabatan dan agensi kerajaan negeri telah berbuat demikian­ sejak bulan Februari lalu.

“Saya difahamkan ada 59 agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan di negeri ini sedang menunggu giliran untuk melaksanakan program IBR. Kami bercadang untuk menyelesaikannya menjelang akhir tahun ini,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Terdahulu beliau selepas menyaksikan majlis lafaz dan menandatangani IBR oleh 1,100 kakitangan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang diketuai Naib Canselor UniSZA, Prof. Ahmad Zubaidi A. Latif.

No comments:

Post a Comment