Translate

Thursday, November 23, 2017

Rahmad tolak tawaran kemudi pasukan TFC2

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KETUA jurulatih T-Team, Rahmad Darmawan mengotakan janjinya untuk meletakkan jawatan setelah pasukan berstatus kelab itu yang dijenamakan se­mula sebagai Terengganu Football Club 2 (TFC2) disahkan bakal bermain pada saingan Liga Premier pada musim depan.

Beliau yang juga jurulatih berpengalaman dari Indonesia berkata, keputusan untuk me­ninggalkan T-Team diambil selepas mengadakan pertemuan empat mata dengan Timbalan Presiden 1 Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Wan Nawawi Wan Ismail malam kelmarin.

“Pada pertemuan itu, PBSNT menawarkan saya kontrak untuk membimbing TFC2 tetapi saya dengan berat hati terpaksa menolaknya.

“Saya lebih gemar akan cabaran dan masih belum bersedia untuk melatih pasukan yang dijadikan feeder club (kelab pelapis),” kata­nya kepada Kosmo! semalam.

Rahmad, 50, memberitahu, tiga barisan kejurulatihan T-Team yang juga rakan sene­garanya iaitu penolong ketua jurulatih, Satia Bagdja Ijatna; jurulatih kecergasan, Rasiman dan jurulatih penjaga gol, Kurnia Sandy turut mengikut jejak langkah meninggalkan kelab.

Bekas ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun Indonesia yang meraih pingat perak pada Sukan SEA ke-26 pada 2011 itu berkata, keputusan untuk mengundurkan diri sebagai pengendali T-Team dibuat setelah beliau berfikir panjang.

“Secara jujur, saya sedih untuk meninggalkan pasukan ini, negeri ini dan penyokong tetapi ini adalah keputusan profesional yang perlu saya buat.

“Saya juga berterima kasih kepada PBSNT kerana masih memberi kepercayaan kepada saya dengan menawarkan kontrak untuk membimbing TFC2,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengesahkan telah menerima tawaran sebagai ketua jurulatih daripada tiga kelab yang kini beraksi dalam Liga 1 Indonesia.

“Saya akan melakukan perbincangan lanjut dengan kesemua pasukan tersebut bagi menentukan hala tuju musim depan pada masa terdekat sebelum berangkat ke tanah suci untuk menunaikan umrah,” katanya.

Sepanjang dua musim bersama T-Team, Rahmad berjaya mengekalkan status pasukan berstatus kelab dalam saingan Liga Super selain mara ke pe­ringkat separuh akhir Piala Malaysia musim lalu.

No comments:

Post a Comment