Translate

Sunday, October 1, 2017

Wanita hamil maut, dua cedera selepas dua kereta bertembung

MARANG - Seorang wanita hamil dua bulan maut manakala dua lelaki termasuk suaminya cedera selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan dua kereta di Kilometer 43, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Gong Balai di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 7.50 pagi itu, Noorulizaine Mat Noh, 35, yang baru melangsungkan perkahwinan pada bulan Julai lalu meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Suaminya, Mohd. Nor Kamarullah Mohd. Subha, 27, yang duduk di tempat penumpang hadapan kereta Proton Iriz dipandu Noorulizaine dan pemandu Proton Persona, Lim Mee Cin, 35, pula mengalami kecederaan.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Marang, Roslan Ibrahim, berkata, sewaktu kejadian, pasangan suami isteri itu dalam perjalanan pulang ke rumah di Kemasik, Kemaman dari kampung Noorulizaine di Taman Sakti, Manir, Kuala Terengganu.
Beliau berkata, Mee Cin yang memandu kereta Proton Persona pula dalam perjalanan untuk menyertai Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud di Dataran Batu Burok, Kuala Terengganu bersama rakan dan anak rakannya dari Chukai, Kemaman.
"Sewaktu tiba di lokasi kejadian, kereta Proton Persona dipandu Mee Cin yang merupakan seorang guru tiba-tiba hilang kawalan sebelum merempuh kereta Proton Iriz datang dari arah bertentangan.
"Rempuhan itu menyebabkan kereta Proton Iriz dinaiki suami isteri itu remuk teruk," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment