Translate

Friday, October 6, 2017

Polis cari 50 individu dikehendaki

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Inisiatif Polis Terengganu menyiarkan gambar individu dikehendaki polis mulai minggu lalu membuahkan hasil apabila dua daripada mereka tampil menyerah diri untuk membantu siasatan baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata, kedua-dua individu tersebut yang masing-masing dari Kemaman dan Besut dikehendaki polis bagi melengkapkan siasatan berhubung dua kes bunuh.

“Salah sebuah keluarga di Kuala Terengganu juga tampil untuk memaklumkan perkembangan terkini ahli keluarga mereka yang termasuk salah seorang daripada 30 individu dikehendaki seperti yang disiarkan menerusi akhbar dan media sosial, Facebook pada minggu lalu.

“Saya difahamkan mereka dalam usaha untuk memujuk individu tersebut untuk menyerah diri pada masa terdekat selain kedudukan individu berkenaan turut dijejak polis,” kata beliau di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini semalam.

Berikutan kejayaan itu, menurut beliau, sebanyak 50 gambar lagi melibatkan individu dikehendaki polis bagi kes mendatangkan kecederaan parah dan rogol disiarkan pada minggu ini bermula semalam.

Fazlisyam memberitahu, keba­nyakan individu yang dicari itu berasal dari Besut dan sebahagiannya merupakan adik-beradik.

“Selain menyiarkan gambar individu dikehendaki berkenaan menerusi media sosial dan Facebook rasmi IPK Terengganu, kita turut melancarkan Ops Cantas Khas bagi memburu mereka.

“Hasilnya, 30 orang merangkumi 10 suspek kes jenayah dan selebihnya melibatkan kes narkotik telah berjaya ditangkap di sekitar negeri ini sepanjang minggu lalu,” katanya.

Fazlisyam berkata, mereka adalah sebahagian daripada 626 individu yang dicari polis berkaitan kes jenayah di Terengganu sejak tahun 2007.

No comments:

Post a Comment