Translate

Thursday, October 19, 2017

Penduduk gempar nampak buaya tembaga

KEMAMAN – Penduduk Kampung Paman di sini gempar dengan penemuan seekor buaya tembaga dewasa  yang kelihatan timbul dan berjemur di kawasan tali air berhampiran simpang tiga perkampungan tersebut sejak seminggu lalu.

Haiwan reptilia yang dianggarkan berukuran sepanjang dua meter itu dipercayai tersesat memasuki tali air tersebut yang bersambung dengan Sungai Pinang dekat sini sejak lebih seminggu lalu.

Kali terakhir buaya tembaga itu ditemui timbul di permukaan tali air berkenaan oleh penduduk kampung adalah lima hari lalu.

Seorang penduduk, Che Ku Maznah Che Engku Awang, 55, mendakwa, dia perasan kehadiran buaya tembaga tersebut sewaktu dalam perjalanan pulang dari dusun buah miliknya pada pukul 6.30 petang, Jumaat lalu.

Dia yang lebih mesra dipanggil Mok Ku mendakwa, haiwan itu timbul di permukaan tali air berkenaan selama kira-kira dua minit.

“Saya tergamam melibat kelibat buaya tembaga tersebut di dalam tali air tersebut yang terletak kira-kira 500 meter dari dusun buah-buahan saya.

“Sebelum ini, memang timbul desas-desus kehadiran seekor buaya di dalam tali air berkenaan yang gambarnya menjadi tular menerusi aplikasi WhatsApp penduduk kampung tetapi itu pertama kali saya melihatnya,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi menangkap buaya tembaga itu sebelum sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

No comments:

Post a Comment