Translate

Tuesday, October 3, 2017

Pegawai keselamatan direman kes hina PDRM

KUALA TERENGGANU – Seorang pegawai ke­selamatan peribadi direman selama empat hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan kes memuat naik status menghina Polis Diraja Malaysia (PDRM) di laman sosial Facebook baru-baru ini.

Perintah reman itu dikeluarkan semalam oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret, Noradila Ab. Latif.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, lelaki berusia 35 tahun itu disyaki memuat naik komen berunsur penghinaan dan kata-kata kesat terhadap PDRM.

Katanya, komen yang dilakukan pegawai tersebut dipercayai menggunakan akaun peribadi ­miliknya di laman Facebook rasmi Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu pada 27 September lalu itu disyaki bertujuan untuk menghina dan mempertikaikan kredibiliti PDRM.

“Lelaki itu ditahan di tempat letak kereta sebuah flat di Bandar Damai Perdana, Cheras, Kuala­ Lumpur pada pukul 6 petang semalam (kelmarin),” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 505(A) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Aidi berkata, sewaktu ditahan, sepucuk pistol jenis CZ 75P-07 9x19 yang telah luput lesen memilikinya dan dua magazine yang masing-masing berisi 10 butir peluru 9 milimeter turut dijumpai bersama lelaki itu.

Selain itu, beliau memberitahu, telefon pintar jenis Oppo F1S milik pegawai tersebut turut dirampas bagi membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment