Translate

Saturday, October 21, 2017

LKIM tubuh Skuad Nelayan Anti Dadah

KEMAMAN – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menubuhkan pasukan sukarelawan, Skuad Nelayan Anti Dadah bagi membanteras gejala penagihan dadah dalam kalangan golongan tersebut di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, gejala penagihan dadah dalam kalangan nelayan agak serius dengan melibatkan 20.2 peratus daripada kira-kira 100,000 golongan itu yang terdapat di seluruh negara.

“Penubuhan skuad sukarelawan ini merupakan permulaan bagi usaha bersepadu membanteras masalah penyalahgunaan dadah yang semakin merebak dalam kalangan nelayan.

“Usaha pembanterasan gejala penyalahgunaan dadah ini perlu diambil serius kerana ia bukan sahaja menjejaskan produktiviti malah menghancurkan masa depan seluruh keluarga nelayan terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Skuad Nelayan Anti Dadah sempena program Gelombang Nelayan Nasional di Pantai Kuala Kerteh dekat sini semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah LKIM, Datuk M. Saedon Ab. Majid dan Timbalan Pengarah (Operasi) AADK, Datuk Izhar Abu Talib.

Tajuddin berkata, Skuad Nelayan Anti Dadah yang dianggotai nelayan dan ahli keluarga mereka yang berusia 13 hingga 40 tahun itu bakal menjadi mata dan telinga kepada LKIM dan pihak berkuasa bagi memaklumkan sebarang aktiviti mencurigakan melibatkan penyalahgunaan dadah.

Beliau berkata, anggota skuad sukarelawan itu juga terlibat secara aktif dalam aktiviti bercorak pendidikan dan kesedaran secara berkala agar tidak turut terjebak dalam gejala negatif itu.

Sementara itu, Izhar berkata, penubuhan Skuad Nelayan Anti Dadah tersebut merupakan salah satu program Strategi Lautan Biru Kebangsaan AADK dan LKIM bagi mencegah masalah penyalahgunaan dadah di perkampu­ngan nelayan.

Beliau berkata, pemantauan AADK mendapati 50 daripada 178 kawasan berisiko tinggi dalam gejala penyalahgunaan dadah di seluruh negara  merupakan perkampungan nelayan.

“Maklum balas yang diberikan penagih dadah dalam kalangan nelayan memberitahu pada permulaannya, mereka mengambil dadah sebagai rangsangan untuk melakukan kerja berat menangkap ikan di laut dalam.

“Mereka juga memberitahu, bekalan dadah terbabit didapatkan daripada pengedar di kawasan jeti pendaratan ikan secara berhutang. Bayaran hanya dibuat selepas penagih terbabit menjual hasil laut mereka setelah pulang ke daratan,” katanya.

No comments:

Post a Comment