Translate

Sunday, October 8, 2017

Lanun dijel 16 tahun, tiga sebatan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang lanun warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara 16 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas mengaku bersalah merompak sebuah kapal tangki membawa minyak diesel bernilai RM7 juta bersama 10 penjenayah lain pada awal bulan lalu.

Tertuduh, Syafri, 46, yang merupakan bapa kepada empat anak dan berasal dari Batam, Indonesia membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustaffa.

Kosmo! 21 September lalu melaporkan 10 rakan tertuduh bersama ketuanya dijatuhi hukuman penjara 16 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah bagi pertuduhan yang sama pada awal September.

Tujuh daripada 11 tertuduh terbabit yang berusia dalam lingkungan 31 hingga 46 tahun turut dihukum lima sebatan.

Bagaimanapun, ketuanya,  Heinrick Piterson Parera, 59, dan tiga yang lain terlepas daripada hukuman sebat berikutan faktor usia.

Syafri yang sebelum ini berjaya meloloskan diri bersama dua rakan masih bebas telah ditemui terdampar di pantai Seberang Takir, Kuala Nerus oleh beberapa penduduk kampung pada 22 September lalu.

Dia kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Imigresen sebelum semakan Maritim Malaysia (APMM) mendapati identitinya sepadan dengan pasport salah seorang anggota lanun kumpulan terbabit yang masih bebas.

Bagi pertuduhan semalam, Syafri didakwa merompak secara berkumpulan kapal MT MGT 1 milik syarikat Marine Global Transport berpangkalan di Thailand dengan bersenjatakan pisau dan parang bersama 10 tertuduh lain serta dua lagi yang masih bebas di perairan Terengganu pada 6 September lalu.

Dia turut didakwa mendatang­kan kerugian serta ketakutan terhadap 14 kru kapal MT MGT 1 yang kesemuanya warga Thailand.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 397 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farahah Mohd. Suah manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

No comments:

Post a Comment