Translate

Tuesday, October 3, 2017

Jentera Pas enggan bantu kempen pakatan pembangkang pada PRU-14

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Jentera Pas yang menjadi tulang belakang kempen pembangkang sebelum ini bakal bergerak bersendirian dan tidak mahu membantu mana-mana parti politik lain dalam pakatan pembangkang, Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jentera parti yang meliputi 7,000 cawangan di seluruh negara tidak akan memberi sokongan dari segi tenaga, komitmen mahu pun kewangan kepada parti-parti politik lain kecuali yang bersekutu dengan Gagasan Sejahtera.

"Pilihan raya kali ini, jentera Pas tidak akan berhubung dengan mana-mana parti (politik) kecuali dalam Gagasan Sejahtera.

"Komitmen jentera dan kewangan kita untuk menjayakan agenda Pas semata-mata" katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Fastaqim 2.0 di Pantai Tok Jembal di sini hari ini.

Terdahulu beliau melancarkan jentera parti bagi menghadapi PRU-14 peringkat dewan-dewan perwakilan Pas.

Keputusan tegas itu pasti memberi tamparan besar kepada pakatan pembangkang terutama Parti Keadilan Rakyat Selangor yang masih berharap dapat meneruskan kerjasama dengan Pas pada PRU-14 setelah dua penggal bersama menguasai kerajaan negeri sejak PRU-12.

No comments:

Post a Comment