Translate

Friday, October 6, 2017

Dua suspek kes curi 
perabot direman empat hari

KUALA TERENGGANU – Seorang wanita bersama teman lelakinya ditahan reman selama empat hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan kes mencuri perabot dan kelengkapan rumah sewa di Gong Badak, Kuala Nerus, Sabtu lalu.

Perintah reman terhadap wanita berusia 44 tahun dan lelaki berumur dalam lingkungan 30-an itu dibenarkan Penolong Pendaftar Mahkamah, Roszita Md. Saad di Mahkamah Majistret di sini semalam.

Mereka ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Kosmo! semalam melaporkan suspek pertama iaitu seorang wanita ditahan dalam serbuan di sebuah rumah sewa di Taman Perdana, Kubang Parit di sini pada pukul 9.30 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata, kedua-dua suspek dipercayai terlibat dalam kes melarikan perabot dan kelengkapan rumah yang disewanya di Gong Badak.

Menurutnya, siasatan awal mendapati modus operandi suspek ialah menyewa rumah yang dilengkapi perabot sebelum menghilangkan diri bersama kesemua barangan tersebut beberapa bulan kemudian.

“Semakan juga mendapati wanita berkenaan juga dikehendaki bagi 12 kes sama iaitu mencuri dalam bangunan dan menipu di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Melaka dan Johor,” katanya.

Antara barangan yang dicuri suspek dalam kejadian 30 September lalu termasuk katil, sofa, peti ais, televisyen, meja makan, meja kopi dan tong gas berjaya dijumpai semula.

Difahamkan sebahagian barangan tersebut termasuk empat unit pendingin hawa telah dijual di sebuah kedai perabot terpakai di bandar raya ini selain selebihnya diiklankan untuk jualan menerusi internet.

No comments:

Post a Comment