Translate

Sunday, October 8, 2017

Dua mangsa sengatan tebuan semakin stabil

KUALA TERENGGANU - Keadaan dua murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Marang iaitu Muhammad Alif Hakim dan Muhammad Amirul Fikri yang terkena sengatan sekumpulan tebuan yang turut mengorbankan seorang rakan sekelas mereka di Kampung Rhu Muda, Marang kelmarin dilaporkan semakin stabil.
Ibu Muhammad Alif, Norhidayah Ismail, 34, berkata, anak lelakinya dan Muhammad Amirul masing-masing terkena sengatan 10 ekor dan 16 ekor tebuan dalam kejadian yang mengorbankan Ahmad Amirul Mustaqim Mohd. Saibul, 10.
"Alhamdulillah keadaan anak saya dan rakannya (Muhammad Amirul) semakin stabil berbanding sewaktu mula-mula di bawa ke hospital ini (HSNZ) pada kelmarin (Selasa lalu).
"Begitupun, menurut doktor yang merawat, mereka masih memerlukan pemantauan sekurang-kurangnya 72 jam lagi di unit rawatan rapi (ICU) bagi memastikan benar-benar sembuh dan tidak berlaku komplikasi akibat sengatan tebuan terbabit," katanya ketika ditemui di luar Wad ICU HSNZ di sini hari ini.
Kosmo! melaporkan Ahmad Amirul yang merupakan murid tahun empat SK Seberang Marang, Marang meninggal dunia selepas bertarung nyawa lebih tujuh jam akibat disengat sekumpulan tebuan di Kampung Rhu Muda, Marang.
Ahmad Amirul yang mengalami gangguan penafasan dan kencing berdarah akibat disengat lebih 100 ekor tebuan berkenaan menghembuskan nafas terakhir ketika sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi HSNZ pada pukul 10.40 malam kelmarin dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lorong Masjid Haji Kadir di sini semalam. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment