Translate

Thursday, October 5, 2017

Budak mati disengat tebuan, dua lagi masih lemah

MARANG – Seorang murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Marang di sini bertarung nyawa lebih tujuh jam sebelum meninggal dunia kelmarin akibat disengat sekumpulan tebuan di Kampung Rhu Muda di sini.

Ahmad Amirul Mustaqim Mohd. Saibul (gambar kecil), 10, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu pada pukul 10.40 malam kelmarin.

Dua lagi rakan sebaya Ahmad Amirul iaitu Muhammad Alif Hakim dan Muhammad Amirul Fikri turut menjadi mangsa sengatan tebuan terbabit. Mereka  masih lemah dan dirawat di hospital sama.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Suhaimi Ali berkata, ketiga-tiga sahabat itu disengat tebuan semasa mereka dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Rhu Muda selepas membeli alat ganti basikal di sebuah kedai basikal berhampiran.

“Tebuan tersebut bersarang di sebatang pokok di kawasan semak. Ketiga-tiga sahabat itu disengat lebih 100 ekor tebuan di seluruh anggota badan masing-masing,” katanya di sini semalam.

Menurut beliau, akibat kejadian itu, ketiga-tiga sahabat yang juga merupakan rakan sekelas di sekolah dihantar ke Klinik Kesihatan Marang sebelum dirujuk ke HSNZ.

“Bagaimanapun, keadaan Ahmad Amirul semakin lemah dengan pernafasannya terganggu selain mengalami kencing berdarah. Dia disahkan meninggal dunia pada pukul 10.40 malam semalam (kelmarin),” kata beliau.

Sebelum ini, empat kes kematian membabitkan empat kanak-kanak akibat disengat tebuan direkodkan di Besut dan Dungun pada Ogos lalu.

No comments:

Post a Comment