Translate

Wednesday, September 13, 2017

Tuah hias rumah bertema kemerdekaan sempena bulan kebangsaan, menang kereta Proton Saga BLM

HULU TERENGGANU - Kesungguhan keluarga Tuan Azma Tuan Ahmad, 60, menghias rumah dengan dekorasi kemerdekaan bagi menzahirkan semangat patriotik sempena Hari Kebangsaan ke-60 baru-baru ini berbaloi apabila muncul johan pertandingan Syukurnya Negaraku Merdeka (Senyum) diumumkan semalam.
Kemenangan dalam pertandingan anjuran Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang yang julung kali diadakan itu membolehkan keluarga tersebut membawa balik hadiah utama iaitu sebuah kereta Proton Saga BLM.
Menantu Tuan Azma, Amran Samion, 41, berkata, keluarganya membelanjakan hampir RM5,000 untuk menghias rumah mereka di Kampung Getang Hilir, Kuala Berang di sini dengan lebih 500 Jalur Gemilang.
Beliau berkata, mereka turut membina replika seperti Menara Berkembar Kuala Lumpur, bunga raya dan helikopter menggunakan bahan-bahan terpakai seperti tin susu, botol air, tempurung kelapa dan buluh yang disiapkan dalam tempoh tiga minggu.
"Sememangnya menjadi tradisi keluarga kami menghias rumah bertemakan kemerdekaan sempena Hari Kebangsaan setiap tahun atas kehendak ayah mertua saya (Tuan Azma) yang mahu menerapkan semangat patriotik dalam kalangan kami sekeluarga," katanya ketika ditemui selepas menerima hadiah kereta Proton Saga BLM yang disampaikan Speaker DUN Terengganu, Datuk Mohd. Zubir Embong di Dewan Komuniti Kuala Berang semalam.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Berang, Datuk Tengku Putera Tengku Awang. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment