Translate

Wednesday, September 13, 2017

Taman Ilmu Terengganu siap

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

BESUT – Taman Ilmu seluas 303.25 hektar yang merupakan pusat bersepadu perkongsian kemudahan pendidikan asas institusi pengajian tinggi (IPT) milik kerajaan negeri Terengganu mula beroperasi semalam.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, buat permulaan, satu blok daripada tujuh kolej kediaman yang berada di dalam premis tersebut akan dihuni pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kampus Tembila yang mempunyai dua fakulti iaitu Infomatik dan Pengkomputeran serta Biosumber dan Industri Makanan.

“Seramai 250 pelajar lelaki baru UniSZA yang baru mendaftar semalam (kelmarin) itu akan mula memasuki kolej kediaman berkenaan pada Ahad ini.

“UniSZA juga akan memasuki sebuah blok kolej kediaman Taman Ilmu setelah kerja-kerja pengubahsuaian dan pembaikan selesai pada masa terdekat,” katanya selepas merasmikan pembukaan Kolej Kediaman Taman Ilmu, Tembila dekat sini semalam.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dan Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Ahmad Zubaidi Abdul Latif.

Ahmad Razif berkata, UniSZA te­lah menandatangani memorandum perjanjian untuk menduduki kolej kediaman tersebut secara sewaan dalam tempoh 10 tahun.

“Kerajaan negeri telah menu­buhkan jawatankuasa khas yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Seri Wan Nawawi Wan Ismail untuk menilai kesemua permohonan tersebut.

“Kita mahu IPT yang betul-betul dapat memberi komitmen dalam pembangunan Taman Ilmu dan selaras dengan objektif penubuhannya,” katanya.

Ahmad Razif berkata, Taman Ilmu yang dilhamkan Idris sewaktu menjadi Menteri Besar Terengganu pada tahun 2004 mampu menampung sehingga enam IPT dengan kapasiti sehingga 30,000 pelajar pada satu-satu masa.

No comments:

Post a Comment