Translate

Monday, September 18, 2017

Taburan hujan luar biasa akibat perubahan iklim global punca banjir kilat di bandar utama


KUALA NERUS - Kejadian banjir kilat yang kerap berlaku di beberapa bandar utama sepanjang tahun ini termasuk terbaharu di Pulau Pinang dan Kedah pada Jumaat lalu disebabkan oleh taburan hujan yang luar biasa akibat perubahan iklim global.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr. Hamim Samuri berkata, kebanyakan sistem saliran sedia ada di lokasi banjir kilat tersebut tidak mampu lagi menampung kuantiti air hujan terlalu tinggi secara tiba-tiba dan ia diburukkan lagi oleh pelan pembangunan yang tidak dikawal.
"Perubahan iklim global itu menyebabkan kita tidak dapat lagi menjangka jumlah keamatan hujan di sesuatu kawasan berdasarkan data lampau selain taburan (hujan) yang tidak lagi mengikut musim selain perubahan lokasi tumpuan (hujan).
"Umpamanya ada beberapa kawasan lembangan sungai di negara ini yang dahulu merupakan kawasan tadahan hujan kerana faktor muka bumi kini tidak lagi menerima hujan dalam kuantiti tinggi. Perubahan ini didapati semakin ketara sejak setahun lalu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Pengurusan Air Larian Hujan dan Kawalan Hakisan dan Kelodak kebangsaan yang turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan Sumber Asli) Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Suhaimi Mamat dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Terengganu, Idrus Ahmad. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment