Translate

Wednesday, September 20, 2017

Suami isteri didakwa buat tuntutan palsu tender pembekalan telur dan susu hospital

KUALA TERENGGANU - Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM211,646 terhadap tender pembekalan telur dan susu Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini antara Februari dan Julai lalu.
Pengurus sebuah syarikat pembekalan, Mohd. Fikri Izani, 26, dan isterinya Noormazida Mukhtar, 28, yang merupakan Pembantu Tadbir Jabatan Dietetik dan Sajian HSNZ mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohammad Haldar Abdul Aziz.
Berdasarkan pertuduhan pertama hingga keempat, Mohd. Fikri dan Noormazida didakwa mengemukakan dokumen tuntutan palsu berhubung pembekalan telur berjumlah keseluruhan RM113,066 yang sebenarnya tidak wujud kepada Jabatan Dietetik dan Sajian HSNZ antara 12 Februari dan 31 Mei lalu.
Bagi pertuduhan kelima dan keenam pula, kedua-dua tertuduh didakwa mengemukakan dokumen tuntutan palsu pembekalan susu berjumlah RM98,580 yang sebenarnya tidak pernah dibekalkan kepada Jabatan Dietetik dan Sajian HSNZ pada 9 Jun dan 3 Julai lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai barangan atau RM10,000, mana lebih tinggi. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment