Translate

Friday, September 22, 2017

Remaja mati, rakan parah terbabas elak babi

SETIU – Gara-gara mengelak seekor babi yang tiba-tiba melintas, seorang remaja maut manakala rakannya cedera parah selepas motosikal yang ditunggang masing-masing terbabas di Kilometer 12, Jalan Chalok-Telaga Papan dekat sini kelmarin.

Dalam kejadian pukul 11 malam itu, Mohamad Sulaiman Salleh, 19, maut akibat kecederaan pada kepala manakala rakannya, Muhammad Al-Qusyairi Awang Mat, 17, yang menunggang motosikal berasingan pula patah tangan dan kaki kanan.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris berkata, sewaktu kejadian, kedua-dua lelaki yang masing-masing menunggang motosikal Honda C100 dan Honda C70 dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Kubang Puyu, Chalok dari Telaga Papan dekat sini.

“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, seekor babi tiba-tiba melintas menyebabkan ke­dua-dua motosikal ditunggangi mangsa terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah kereta Perodua Axia.

“Rempuhan itu menyebabkan Mohamad Sulaiman tercampak sejauh beberapa meter dan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Zulkifli memberitahu, Muhammad Al-Qusyairi yang turut tercampak pula ce­dera parah manakala pemandu Perodua Axia yang berusia 23 pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat Mohamad Sulaiman dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk dibedah siasat dan Muhammad Al-Qusyairi turut dirawat di hospital sama.

No comments:

Post a Comment