Translate

Thursday, September 21, 2017

Musim tengkujuh dijangka bermula pertengahan November depan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menjangkakan musim tengkujuh yang dikhuatiri menyebabkan banjir di Pantai Timur merangkumi Kelantan, Terengganu dan Pahang bakal bermula pada pertengahan November depan.
Ketua Pengarah Nadma, Datuk Abd. Rashid Harun berkata, berdasarkan data yang diberikan Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia), Monsun Timur Laut yang membawa taburan hujan tinggi di kawasan berkenaan bakal bermula pada tempoh tersebut.
Beliau berkata, Met Malaysia juga memaklumkan perairan negara termasuk Pantai Timur akan dilanda fenomena air pasang besar di dalam tempoh tiga bulan iaitu dari Oktober hingga Disember depan.
"Kita risau hujan lebat yang berlaku di pendalaman (negeri-negeri Pantai Timur) dalam kuantiti tinggi akan lambat mengalir keluar ke laut akibat fenomena air pasang besar itu sekali gus menyebabkan banjir.
"Sehubungan itu, kita telah membuat persiapan awal dengan memanggil kesemua agensi terlibat di negeri-negeri tersebut bermula dengan Terengganu untuk melakukan simulasi banjir," katanya selepas merasmikan penutup Latihan Persediaan Menghadapi Bencana Banjir Monsun Timur Laut di Kem Batalion 9, Pasukan Gerakan Am di sini hari ini. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment